Oleh: Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menempelak tindakan DAP yang cuba membangkitkan soal perkauman dalam isu syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air, baru-baru ini.

Katanya, kenyataan DAP yang menyatakan Pemuda UMNO menaikkan isu perkauman menampakkan tembelang mereka yang tidak menyelidik tujuan sebenar Malindo Air dipersoalkan dalam perihal operasinya.

Malindo Air sebelum ini didakwa mempunyai hutang cukai penerbangan sebanyak RM70 juta dan menimbulkan pelbagai spekulasi khususnya kepada penggemar penerbangan tambang murah.

“Mereka (DAP) ini seolah-olah tin kosong. Mereka nak mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) jadi mereka cipta polemik baharu, sedangkan kita tidak pernah mempertaikan pemilik syarikat penerbangan ini.

“Kita hanya fokus dua isu utama, pertama sebagai syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air tidak boleh beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan bersaing secara tidak adil bersama Malaysian Airlines (MAS).

“Keduanya, mereka berhutang cukai penerbangan selama tujuh hingga ke lapan bulan, mereka kena bayar, mana boleh mereka guna duit kerajaan untuk aliran tunai mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Tegasnya, sebagai syarikat penerbangan berstatus tambang murah mereka tidak wajar mempunyai keistimewaan dan mencuri penumpang dari MAS yang dimiliki oleh negara Malaysia serta mempunyai keistimewaan tersendiri.

Jelasnya, Pemuda UMNO sama sekali tidak pernah mempertikaikan status Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang disandang oleh seorang tempatan namun apa yang menjadi kebimbangan adalah pemegang saham syarikat penerbangan tersebut.

“Pemegang saham itu adalah rakyat asing. Kita kena perjuangkan ekonomi kita kerana ini soal ekonomi negara, kalau MAS hilang pendapatan maka kita kena suarakan.

“Saya beri amaran kepada DAP, jangan cuba main isu perkauman dalam hal Malindo Air. Jangan cuba cipta polemik perkauman kerana kita tahu isu yang sebenar,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.