KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad digesa supaya tidak bersikap berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap ahli PH yang percaya gabungan itu akan kalah, kata Najib Razak.

Menurut bekas perdana menteri itu, jika ada sesiapa yang perlu dihukum terlebih dahulu, individu tersebut sepatutnya ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Kalau PM ketujuh nak ambil tindakan, patut kenakan Kit Siang itu dulu.

“Mulut Kit Siang memang jahat. Dia layak untuk dihukum dari dulu lagi,” tulisnya di Facebook malam tadi.

Najib mengulas kenyataan Mahathir yang mengatakan Bersatu akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencemarkan parti itu dengan mengatakan bahawa PH akan dapat kalah dalam pilihan raya.

Meskipun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus, ia dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Dr Rais Husin.

Kata Najib beliau berasa simpati terhadap Rais dan mendakwa bahawa banyak pemimpin lain dalam PH juga mengatakan perkara sama atau bersetuju dengan kenyataan Rais itu.

Antara yang dinamakannya ialah anggota Parlimen Subang, Wong Chen; anggota Parlimen Klang, Charles Santiago; dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta Kit Siang.

Untuk rekod Kit Siang – dalam kenyataan dua hari lalu – tidak langsung mengatakan bahawa PH akan kalah dalam pilihan raya umum (PRU) jika ia dipercepatkan.

Kita Siang hanya menyatakan, jika PRU diadakan sekarang, beliau akan tewas di kerusi parlimen Iskandar Puteri dan DAP akan kehilangan 30 hingga 40 peratus undi di seluruh negara.

Sementara itu, Guan Eng hanya mengakui populariti PH semakin menurun, tetapi yakin bahawa mereka boleh mengubah keadaan.

Santiago dan Wong bagaimanapun bersetuju dengan penilaian Rais.

Pada 28 Ogos, Rais memberitahu sebuah forum bahawa PH akan kalah sekiranya PRU diadakan sekarang berikutan rakyat yang tidak puas hati dengan pengendalian isu semasa seperti pengangguran, kos sara hidup, dan keutamaan mempengaruhi pengundi Melayu Muslim.

-MalaysiaKini