KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyatakan sokongan jika Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Ketuanya, Mohd Shahrun Radzi, berkata selain menjadi Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad juga Ketua AMK Malaysia dan turut berpengalaman luas dalam bidang politik tanah air.

“Beliau sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Timbalan Speaker DUN Selangor, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan kini diberi peluang menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa.

“Berpengalaman luas, kebolehan Nik Nazmi dalam bidang siasah dan pentadbiran serta mengetuai Pemuda PH Malaysia amat diperlukan untuk memberi anjakan baharu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Prestasi cemerlang beliau yang sentiasa dekat dengan kehendak anak muda sangat bertepatan untuk memacu kejayaan dan kemajuan bagi membawa seluruh anak muda di negara ini berada dalam keadaan sejahtera serta terbela,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelantikan Nik Nazmi ini akan memberi pengiktirafan kepada kelangsungan Manifesto Pemuda PH yang dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kekuatan dan kesinambungan kepimpinan Nik Nazmi sebagai Ketua Pemuda PH amat penting bagi memastikan keberkesanan perjalanan manifesto itu direalisasikan.

“AMK Perlis amat berharap pemimpin dengan rekod politik dan peribadi yang baik seperti ini akan diangkat untuk terus menjadi aspirasi kepada seluruh anak muda di Malaysia ke arah dimensi baharu,” katanya – berita harian