Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang surirumah ditahan bersama anak perempuannya berusia 21 tahun berikutan penemuan mayat bayi perempuan berusia tiga hari yang ditanam di belakang rumah mereka di perkampungan tersusun Tanah Hitam, Chemor dekat sini.

Difahamkan, mayat bayi yang dipercayai anak luar nikah itu dikesan mengalami kecederaan serius seperti retak tulang dan otak ditemukan polis di belakang rumah pada 12 Mei lepas.

Penemuan itu dibuat setelah wanita berusia 52 tahun itu membawa anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan kerana mengalami pendarahan dan demam panas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang mengesahkan tangkapan berkata wanita berkenaan mengaku anak perempuan telah melahirkan seorang bayi di rumah pada 10 Mei jam 8 malam.

Menurutnya, bayi tersebut dikatakan meluncur jatuh tangga sejurus dilahirkan kerana anak perempuannya memegang tangga menahan sakit sambil meneran ketika melahirkan.

“Wanita itu dikatakan tidak sempat menyambut cucunya. Laporan bedah siasat mendapati bayi perempuan itu mengalami retak tulang tengkorak, pendarahan lapisan bawah kulit kepala dan pendarahan pada otak,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, ibu kepada bayi tersebut ditahan sekitar 9.30 pagi pada 18 Mei lepas dan didapati belum berkahwin dan tidak bekerja manakala ibunya pula ditahan pada 12 Mei, kedua-duanya di IPD Ipoh.

Sum berkata, kedua-dua suspek bagaimana pun dibebaskan dengan jaminan berikutan masalah kesihatan.

“Wanita itu diberi jaminan kerana mengidap kencing manis, darah tinggi dan asma tahap kronik manakala anak perempuan masih dalam keadaan lemah dan memerlukan rawatan,” katanya.