IPOH – Seekor anak gajah jantan dipercayai tersesat dikesan berkeliaran di pekan Lintang hingga masuk ke kawasan sekolah, pagi tadi.

Kehadiran haiwan comel seberat 200kg dengan saiz tapak kaki tujuh inci itu disedari sekitar jam 8 pagi oleh anggota Balai Polis Lintang.

Pemangku Pengarah Perhilitan negeri Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, anak gajah terbabit ditemui berada dalam ketakutan dan berlari-lari tanpa arah tujuan di kawasan laluan balai polis.

“Anak gajah ini dipercayai tersesat dan terpisah dengan ibunya dari Hutan Simpan Piah sebelum memasuki kawasan pekan.

“Operasi tangkapan telah dilancarkan membabitkan lapan anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) menggunakan pelali.

“Haiwan itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan dan kini ditempatkan sementara di Pejabat Perhilitan Sungai Siput,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, haiwan yang diberi nama Yeop Lintang itu gajah terkecil pernah ditangkap Jabatan Perhilitan Perak setakat ini.

Pihaknya akan menjalankan pemantauan rapi di sekitar kawasan berhampiran untuk mengesan keberadaan ibu gajah terbabit.

“Meskipun anak gajah ini tidak agresif, kita tidak boleh melepaskannya ke hutan kerana masih kecil dan menyusu, dikhuatiri tidak dapat survive,” katanya.

Beliau berkata, penemuan anak gajah itu telah dimaklumkan kepada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.

“Anak gajah ini akan dihantar ke pusat itu selewatnya esok, buat masa ini, jabatan memberikannya minum susu,” katanya – sinar