PARIT: Anak muda di Parit harus mencontohi majoriti golongan dewasa yang terus menyokong Barisan Nasional (BN) demi meneruskan pembangunan yang telah dirancang untuk kawasan tersebut.

Calon Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai pewaris masa depan, anak-anak muda juga mesti menyiapkan diri untuk meneruskan kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

Dalam masa sama, beliau meminta mereka supaya membantu jentera kempen BN, termasuk melalui media sosial seperti whatsapp dan facebook

“Gunakan kempen kali ini untuk mengumpul pengalaman demi meneruskan legasi kepimpinan BN supaya kita terus menerajui kepimpinan negeri dan negara,” katanya dalam siri kempennya di seluruh Parit, malam tadi.

Nizar yang lebih mesra dipanggil Ustaz Nizar meluangkan masa sehingga jam 2 atau tiga pagi sejak hari penamaan calon untuk berjumpa petugas BN di pusat daerah mengundi (PDM) di dalam dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota dan Belanja.

Di dalam ucapan ringkasnya, beliau merayu mereka supaya terus bekerja kuat sehingga hari pengundian dan dalam masa yang sama, menjaga kesihatan, keselamatan serta kad pengenalan masing-masing.

Beliau turut menyantuni anak-anak muda yang bersengkang mata sehingga awal pagi untuk memasang poster, kain rentang dan bahan-bahan kempen lain.

Di sebelah siangnya beliau bersama-sama calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan calon DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah berjumpa seberapa ramai pengundi menerusi pelbagai program seperti minum pagi di warung dan lawatan rumah ke rumah.

Mereka turut dibantu dua tokoh kepimpinan bahagian, bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim, di samping Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian serta sayap-sayap.

Ustaz Nizar ketika ditemui melahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada semua pihak, termasuk bekas-bekas pemimpin UMNO Bahagian, yang banyak membantu untuk memenangkan calon-calon BN.

“Alhamdulillah, kami mendapat bantuan dan sokongan kuat daripada abang-abang, kakak-kakak dan ibu bapa yang sentiasa tampil bila-bila masa untuk membantu,” ujarnya.

BERITA BERKENAAN : Tolak Calon Lompat Kawasan

1/4