KUANTAN: Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar dikatakan antara calon yang akan dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, bulan depan.

Selain Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan, seorang peneroka FELDA Chini yang juga ahli UMNO Pekan turut disebut-sebut untuk diletakkan sebagai calon pada PRK 4 Julai depan.

Menurut sumber, setakat ini tiada kata putus nama calon memandangkan ia masih dalam perbincangan.

“Difahamkan nama calon hanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat persetujuan daripada kepemimpinan tertinggi BN khususnya UMNO.

“Bukan satu nama, malah beberapa nama turut disenaraikan untuk dipertimbangkan” kata sumber itu.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan supaya PKR tidak meletakkan calon pada PRK berkenaan yang merupakan PRK ke-11 selepas PRU-14.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, BN yang menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) mendapat sokongan pengundi.

PAS juga tidak meletakkan calon kerana memberi sokongan kepada calon BN daripada UMNO. -BH