PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mendenda selebriti Instafamous RM10,000 atas kesalahan memiliki produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan untuk jualan.

Majistret M Barath menjatuhkan hukuman selepas orang kena saman (OKS), Rose Azlin Rosli, 46, yang juga anak pelakon veteran, mengaku bersalah.

Rose Azlin, pemilik jenama KM Beauty House selaku OKS tidak diwakili peguam dan membayar denda berkenaan.

Anak pelakon Normah Damanhuri itu dalam hujahnya meminta hukuman dikurangkan kerana kejadian berlaku ketika tempoh mendapatkan kelulusan KKM.

Namun, Pegawai Pendakwa Mohd Helmi Azman daripada KKM meminta OKS dijatuhi hukuman setimpal, lapor Harian Metro Online.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa memiliki 99 paket produk KM Sampah Cleanse.

Kesalahan itu dilakukan 21 Januari lalu pada 11.20 pagi di premis di Subang Jaya.

Mengikut laporan Harian Metro Online, OKS dituduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30(1), peraturan yang sama.

Mengikut seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.