Kuala Lumpur: Anak perempuan kepada pelakon wanita veteran yang juga pengusaha produk jamu terkenal bakal didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Sumber berkata, wanita berusia 46 tahun itu bakal berdepan pertuduhan membabitkan penjualan produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan, adik perempuan kepada wanita itu pernah mencetuskan kontroversi apabila mempromosikan produk berkenaan menggunakan elemen lucah menerusi video di media sosial sebelum ini.

“Anak perempuan kepada aktres veteran itu bakal didakwa kerana menjual produk merawat pelbagai masalah dalaman wanita tanpa memperoleh kelulusan KKM terlebih dahulu.

“Produk diedarkan di pasaran itu didakwa dihasilkan menggunakan pelbagai jenis herba selain dikatakan mampu memulihkan hubungan rumah tangga,” katanya.

Susulan pelbagai dakwaan dilakukan melalui media sosial, sepasukan pegawai KKM melakukan siasatan terhadap premis kecantikan milik anak pelakon itu di Subang Jaya, Selangor pada Januari lalu.

“Pegawai KKM kemudian menemui seorang wanita yang mendakwa sebagai pemilik perniagaan di premis itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan kemudian menemui satu jenama produk disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM, sekali gus menyalahi Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Susulan itu petugas KKM bertindak merampas produk berkenaan untuk tujuan siasatan,” katanya.

Berdasarkan siasatan susulan, memiliki keluaran yang bukan berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang juga satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Pada 21 September lalu, usahawan kosmetik dan selebriti, Safiey Ilias mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual produk tidak berdaftar mengikut Peraturan 7 (1)(a) iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mahkamah memerintahkan Safiey, 26, atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias membayar denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM18,000 bagi pertuduhan kedua.

Dalam kes berkaitan, Mahkamah Majistret Shah Alam pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah, Mac lalu.

Dia dituduh memiliki 11 produk yang bukan keluaran berdaftar dengan KKM mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984 untuk tujuan jualan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Nur Sajat juga pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 12 Mei 2019 lalu.