TAPAH – Siapa sangka, kata-kata Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang dia mungkin ditembak semasa bertugas rupa-rupanya menjadi kenyataan.

Anak sulung Baharuddin, Shahrul Effendy, 32, berkata, ungkapan tersebut sering diulang bapanya jika dia menceritakan cabaran yang dilalui sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

“Mendiang bapak selalu ingatkan risiko kerja sebagai anggota polis, malah dia pernah cakap mungkin satu hari nanti boleh kena tembak.

“Bapak cerita yang risiko itu bila-bila pun ada dan kami selalu pesan untuk dia berhati-hati. Tidak sangka apa yang dikatakannya itu benar-benar terjadi,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Batalion 3 PGA Bidor di sini hari ini.

Menurut Shahrul, walaupun sedih dengan apa yang menimpa bapanya itu, mereka sekeluarga terutama ibu, Relow Ko, 48, reda kerana lelaki itu menghembuskan nafas terakhirnya ketika bertugas.

“Kematian bapak tidak sia-sia dan dia pergi secara bermaruah. Kami reda malah mak juga sangat kuat. Mak sedih tetapi dia tidak tunjuk dia sedih,” katanya.

Sementara itu, Relow berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya itu pada pukul 4.30 pagi selepas dimaklumkan jiran.

Katanya, dia sehingga kini masih tidak percaya bahawa bapa kepada tiga anaknya itu telah tiada malah mengganggap lelaki itu sedang bertugas di Padang Besar.

“Sebelum ini, setiap kali dia balik bertugas, saya akan jemput dia di stor persenjataan dan bawa ke rumah tapi kali ini yang balik hanya jasadnya sahaja.

“Walau rasa kehilangan, saya rasa bangga sebab dia bertugas, sanggup bersengkang mata dan berjuang untuk menjaga keselamatan negara,” katanya.

Terdahulu, kenderaan membawa jasad mendiang tiba di Kem Batalion 3 di sini pada pukul 9.30 malam tadi untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sampo, Bahau Negeri Sembilan bagi upacara pengebumian.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi tadi Baharuddin maut selepas terkena tembakan dipercayai anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar.

Ketika kejadian, beliau sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, yang turut terkena tembakan dan mengalami kecederaan parah. – K! ONLINE