PARIT: Anak wartawan Berita Harian cawangan negeri Perak, Syaza Wardina Wafa Shaarani, 12, mendapatkan keputusan cemerlang 6A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Pengorbanan Syaza mengetepikan telefon bimbit dan televisyen sementara waktu demi peperiksaan ternyata berbaloi.

Lebih manis, anak sulung daripada empat beradik itu muncul pelajar terbaik apabila muncul satu-satunya murid memperoleh semua A di Sekolah Kebangsaan Pulau Padang (SKPP), di Bota Kiri dekat sini.

Menurutnya, tidak ada jalan mudah untuk mencapai kejayaan itu, selain usaha bersungguh-sungguh selain doa dan restu kedua ibu bapa.

“Ayah dan ibu tidak pernah memberikan sebarang tekanan, malah mereka memberi kebebasan kepada Syaza untuk menonton televisyen dan melayari internet pada bila-bila masa.

“Cuma bila tinggal sebulan lagi nak periksa, saya sendiri menghadkan masa antara satu hingga dua jam sahaja untuk berbuat demikian, alhamdulilah, pengorbanan saya berbaloi,” katanya ketika ditemui.

Syaza yang meminati bidang muzik berkata, belajar di Sekolah Kurang Murid (SKM) juga menjadi satu kelebihan buatnya apabila guru-guru dapat memberi tumpuan yang lebih kepada murid terlibat.

“Hanya 10 orang murid sahaja di sekolah ini yang mengambil UPSR. Sesetengah murid mungkin beranggapan ia satu kekurangan kerana kurang bersaingan, namun bagi saya ia sebaliknya.

“Selain guru-guru dapat memberi tumpuan yang lebih pada kita, kita juga dapat mempelajari dan memahami sesuatu subjek itu dengan lebih mudah kerana belajar dalam kelompok yang kecil,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sementara itu, bapanya, Shaarani Ismail, 39, berkata, berpandukan format baharu UPSR yang diperkenalkan tahun lalu, dia sentiasa mengingatkan anaknya supaya sentiasa menitikberatkan apa yang dikehendaki yang diperlukan dalam menjawab soalan bagi setiap mata pelajaran.

“Saya turut menghantar anak ke kelas tuisyen tetapi hanya untuk mata pelajaran yang lemah iaitu Matematik selain memberi kebebasan untuk berhibur sama ada menonton televisyen atau menggunakan gajet.

“Pada masa sama, saya juga galakkan Syaza supaya aktif menyertai apa sahaja pertandingan dan aktiviti di sekolah bagi memastikan dia dapat menyeimbangkan akademik dan ko-kurikulum selain tugasan di rumah,” ujarnya.