IPOH:Meraikan anak-anak yatim tidak semestinya menjelang bulan Ramadan atau Syawal semata-mata, begitulah usaha yang dilakukan oleh Orang Manjoi Bikers Community (OMBC) apabila menganjurkan program Ride Santai Bersama Anak-Anak Yatim Ar-Ridwani di sini, semalam.

Ternyata kegirangan jelas terpancar pada riak wajah anak-anak yatim yang diberi peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi mengelilingi sekitar Manjoi.


Program julung kali anjuran OMBC itu bertujuan meraikan anak yatim dan menyuntik kesedaran kepada masyarakat untuk menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan berkenaan.

Presiden OMBC, Ahmad Fuad Ismail berkata, program menggalakkan mereka dikalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk berbuat amal kebajikan.

“Program sekali gus membuka mata masyarakat setempat untuk mengambil perhatian kepada golongan yang tidak bernasib baik untuk dihulurkan bantuan yang sepatutnya.

“Selepas ini program akan diadakan secara berterusan dan dalam masa terdekat program sesi jelajah diadakan di sekitar rumah kebajikan di bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bagi membawa anak yatim berkenaan.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK) Perak, Shaharon Anuar Abdul Latif hadir bagi melepaskan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang membawa anak yatim mengelilingi sejauh 15 kilometer sekitar Manjoi.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ar-Ridwani Ipoh, Norwahi Abdul Wahab.

Ahmad Fuad berkata, pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan bikers sejumlah RM1,500.