IPOH: Kawalan keselamatan di seluruh Perak sempena sambutan kemerdekaan pada hujung bulan ini akan ditingkatkan berikutan wujudnya ancaman daripada kumpulan militan Daesh.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, elemen ancaman daripada kumpulan itu telah dikesan melalui risikan serta siasatan yang dilakukan oleh pihaknya.

“Kita tidak menerima ancaman itu secara terus melalui panggilan telefon atau sebagainya (tetapi) melalui siasatan terhadap individu yang ditahan sebelum ini dan pemantauan kita sendiri, wujud ancaman itu.

“Kita sedang dan telahpun mengambil beberapa langkah bagi memastikan tidak akan terjadi sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Ketua Polis Perak Bersama Polis Bantuan Perak di sini pada Selasa.

Tambah Hasnan, antara tindakan yang telah diambil oleh pasukan polis Perak ialah meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan.

“Antara langkah yang telah diambil ialah meningkatkan kekerapan rondaan di mana ianya melibatkan 75 peratus kawasan di Perak ini, khususnya di tempat-tempat berisiko seperti rumah ibadat, bank dan tempat-tempat yang dikunjungi ramai.

“Setakat ini, ianya terkawal dan Perak masih lagi dalam keadaan amat selamat kerana pelbagai langkah pencegahan telah diambil,” ujarnya.

Jelas Hasnan lagi, setakat ini, seramai 18 individu berasal dari Perak telah ditahan atas penglibatan mereka di dalam kumpulan militan Daesh.

“Ancaman diberi kumpulan pengganas ini adalah benar walaupun kita tengok di internet seolah-olah mereka (pihak-pihak tertentu) mengatakan ianya tidak benar dan sebagainya,” tambah beliau.