ALOR SETAR: Pemain sayap baharu Kedah, Andik Vermansyah mampu menyuntik semangat baharu dan memperkukuh jentera serangan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super yang baharu bermula.

Pengurus Pasukan, Syed Khairul Anuar Syed Abidin, yakin Andik akan membantu skuad Lang Merah mendapat rentak kemenangan selepas tewas dalam dua perlawanan awal liga di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak.

“Kehadiran Andik yang mengisi kuota pemain Asean dan juga import kelima musim ini diharap memberi sinar kebangkitan terutama di bahagian serangan dengan mendapatkan kembali sentuhan penyudah selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan awal musim 2018 ini.

“Saya percaya dengan sokongan jurulatih, pemain dan semua pihak, Andik mampu menggalas cabaran menajamkan lagi jentera serangan kita.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana memberi ‘lampu hijau’ kepada cadangan mendapatkan khidmat Andik.

“Dalam perlawanan ketiga bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan Ahad ini, kita amat berharap mendapat tiga mata pertama bagi saingan musim ini,” katanya pada majlis memperkenalkan pemain dan penyerahan jersi nombor 30 kepada Andik di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), di sini, hari ini.

Sementara itu Andik yang diraikan seluruh pemain Kedah berbangga kerana dipilih menyertai pasukan yang mempunyai reputasi besar itu.

“Pada mulanya ada lima kelab di Indonesia yang cuba mendapatkan khidmat saya tetapi disebabkan reputasi dan nama besar sebagai pasukan bergelar juara di Malaysia, saya memilih Kedah untuk musim ini.

“Bukan mudah seperti yang dijangkakan, kerana saya perlu bekerja keras dan semua tahu Kedah adalah antara pasukan terbaik di Malaysia dan saya harus mengadaptasi corak permainan pasukan secepat mungkin.

“Dengan hubungan baik antara kebanyakan pemain Kedah yang sudah saya kenali sebelum ini, saya yakin dapat membantu pasukan mencapai kejayaan musim ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeuonos, Penolong Pengurus Pasukan, Haris Che Mat, pegawai serta penyokong skuad Lang Merah – berita harian