SERI MANJUNG: Seorang anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera akibat dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu penagih dadah di sebuah ladang sawit di Batu 6, Lekir, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, anggota berusia 36 tahun itu cedera di tangan ketika cuba menghalang suspek daripada meloloskan diri.

Pengarah AADK Negeri Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata, suspek yang berusia 25 tahun cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Kancil tetapi berjaya diberkas.

“Anggota berkenaan menerima rawatan pesakit luar di sebuah klinik di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Khairul Anwar berkata, kejadian itu berlaku ketika pihaknya melakukan serbuan di lokasi terbabit melalui ‘Ops Cegah Perangi Dadah 2.0’ di sekitar daerah ini.

Katanya, antara lokasi penagihan dadah diserbu membabitkan kawasan Lekir dan Beruas, Taman Samudera, Sitiawan, selain sekatan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Sitiawan-Lumut bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Dalam operasi yang dijalankan bermula 8 malam tadi, seramai 21 individu diperiksa dan 14 daripadanya didapati positif pelbagai jenis dadah hasil daripada saringan awal ujian air kencing yang dijalankan.

“Semua yang ditahan membabitkan dua wanita dan 12 lelaki berusia antara 22 hingga 56 tahun dibawa ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Batu Kurau untuk siasatan lanjut,” katanya.

-bhnews@bh.com.my