TAIPING: Seorang anggota polis cedera ketika latihan penerjunan apabila tersasar dan jatuh di atas bumbung sebuah rumah di Jalan Laksamana, Assam Kumbang, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian itu, Koperal Mohamad Rozali Jusoh, 33, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, dipercayai pengsan ketika melakukan penerjunan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 11.03 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati seorang anggota polis yang lengkap berpayung terjun berada di rumah setingkat milik penduduk kampung berkenaan.

“Anggota kemudiannya bertindak menurunkan mangsa dari bumbung rumah menggunakan peralatan khas dan menyerahkan kepada petugas perubatan hospital untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kini dirawat di Hospital Taiping,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Rafeel berkata, pihaknya difahamkan mangsa bersama pasukannya menjalankan latihan penerjunan dari paras 914.4 meter dan tidak menjawab apabila dihubungi melalui walkie talkie ketika berada pada ketinggian 304.8 meter di udara.

“Difahamkan, mangsa dipercayai pengsan di udara namun keadaan payung terjunnya masih kembang dan mangsa kemudian terjatuh di atas bumbung rumah penduduk di sini sebelum diselamatkan anggota bomba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah anggota polis yang menjalankan latihan untuk hari ini – berita harian