MANILA, 22 DIS : Seorang pegawai polis ditangkap dan didakwa atas pembunuhan dua beranak di bandar Tarlac, Filipina.

Sarjan Jonel Nuezca menembak mati jiran Sonya Gregario, 52, dan anaknya Frank, 25, susulan perbalahan pada Ahad.

Kejadian tercetus apabila Frank didakwa membuat bising dengan meletupkan meriam paip PVC buatan sendiri.

Jonel yang marah dengan bunyi bising itu datang bersemuka dengan Frank untuk membawanya ke balai polis, namun dihalang Sonya yang bertindak memeluk anaknya.

Pertengkaran kemudiannya beralih kepada isu pemilikan tanah yang telah lama berterusan di antara kedua keluarga tersebut.

Namun tidak semena-mena, Jonel melepaskan tembakan dari jarak dekat ke kepala kedua-dua mangsa dan menembak sekali lagi setelah mangsa rebah terbaring di tanah.

Selain jiran, kejadian turut disaksikan anak perempuan suspek yang berada di situ.

Insiden ngeri itu sempat dirakam dan mulai tular di media sosial sejak semalam.

Saksi kejadian turut mendakwa Jonel dan seorang lagi lelaki tidak dikenal pasti telah membelasah Frank sebelum rakaman dibuat.

Saksi juga mendakwa, selepas menembak dua beranak itu, Jonel membawa pulang anak perempuannya seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Jonel dilapor menyerah diri pada Ahad.

Ketua Polis Filipina Debold Sinas memberitahu media bahawa Jonel telahpun berdepan lima pertuduhan pentadbiran, termasuk dua kerana membunuh, namun kedua-duanya diketepikan kerana kekurangan bukti.

Sejak video itu tersebar, pelbagai hashtag mulai tular di media sosial mendesak keadilan buat Sonya dan Frank.

Insiden pembunuhan itu juga telah menimbulkan kemarahan masyarakat yang mendesak reformasi dalam institusi polis negara itu. – AWANI