Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang anggota polis marin berpangkat Koperal ditemui maut dalam sebuah kereta yang berhenti berhampiran lampu isyarat Taman Kota Jaya, Simpang di sini pada awal pagi Selasa.

Koperal Mohd Fadzil Ariffin, 50,  dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Abd Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri daripada orang awam pada pukul 7.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati allahyarham keluar daripada rumah di Parit Buntar pada pukul 4.50 pagi dengan memandu seorang diri ke tempat kerja di Pangkalan Polis Marin Kg Acheh, Sitiawan.

“Setibanya di tempat kejadian, allahyarham telah memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum orang awam menyedari dia tidak sedarkan diri.

“Siasatan di tempat kejadian dan pada tubuh mangsa menunjukkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada malam Selasa.

Razlam berkata, polis kemudiannya menghubungi pihak perubatan yang mengesahkan allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat di Hospital Taiping mendapati beliau meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata, allahyarham yang bertugas di Pangkalan Marin Kg Acheh meninggalkan seorang isteri yang bekerja sebagai seorang guru dan tiga orang anak perempuan.