Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap orang awam, tiga tahun lepas.

Muhammad Faisal Ahmad Ghapur, 32, dan Muhammad Azizul Hakim Hasnan, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan pemerasan dan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki bernama Faizal Yusof dengan menunjukkan sepasang gari serta ingin membawa lelaki itu ke balai polis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kawasan Perindustrian Taman Farmaseutikal, Bandar Seri  Iskandar, di daerah Perak Tengah, kira-kira pukul 7 malam pada 20 Mac 2014.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala Muhammad Faisal diwakili peguam Amir Khusairi dan Muhammad Azizul Hakim diwakili peguam Khairul Anuar Musa.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Ogos depan.