KUALA KANGSAR : Seorang anggota Rela maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Kangsar – Manong di sini, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 7.50 malam itu, mangsa Jamaludin Ahmed, yang beralamat di Kampung Beliang, Manong meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail, siasatan awal mendapati treler tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki berumur 43 tahun datang dari arah Kuala Kangsar ke Manong.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu berkenaan telah menyeberang jalan dengan cara mengundur untuk meletakkan kenderaan itu di kawasan lapang tepi jalan sebelah kanan laluannya.

“Ketika sedang mengundur dalam keadaan bahagian treler melintang di tengah jalan laluan bertentangan, tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang mangsa gagal mengelak lalu telah merempuh sisi sebelah kanan bahagian treler,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Razali berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, pemandu treler telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.