PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menghalang kakitangannya untuk berkawan dengan sesiapa saja, selagi tidak membocorkan maklumat siasatan dan bukti kes.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata anggota dan pegawainya sedia maklum mengenai peraturan organisasi dan beliau tidak ada hak untuk menghalang mereka daripada berkawan.

“Semua dalam SPRM boleh berkawan dengan sesiapa saja, takkan kita tidak boleh berkawan, tapi dengan syarat tidak boleh bocorkan maklumat dan bukti,” katanya kepada media selepas menghadiri seminar “Bersiap sedia Untuk Liabiliti Korporat” di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan supaya SPRM menyiasat kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa mempunyai “kawan” dalam SPRM, yang membocorkan maklumat berhubung Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Shukri berkata, SPRM tidak akan melakukan siasatan berhubung perkara itu kerana notis panggilan kepada Ahmad Zahid untuk memberi keterangan bukan satu rahsia dan pemimpin itu boleh memberitahu kepada sesiapa saja, termasuk keluarga dan sahabatnya.

“Kita nak kata bocor kepada orang dalam, ia bukanlah satu rahsia. Notis itu sudah jadi dokumen awam,” katanya – berita harian