KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah selepas didakwa merogol anak kandungnya sendiri pada April lalu.

Tertuduh berumur 38 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim, di sini, hari ini.

Anggota tentera yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh merogol mangsa yang berumur 13 tahun di sebuah rumah di Kinarut pada jam 9 pagi, 7 April lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Dinesh Raja, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakbir Singh.

Rakbir dalam permohonan jaminan untuk tertuduh berkata, mangsa kini diletakkan dalam penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim menetapkan jaminan RM10,000 dengan deposit penuh terhadap tertuduh, selain memerintahkan tertuduh melapor diri setiap Jumaat di balai polis Kinarut dan melarangnya mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau penjaganya.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk pengurusan kes, manakala perbicaraan pada 23 hingga 24 Oktober depan – berita harian