BATU GAJAH –  Seorang anggota tentera laut (TLDM) ditemui mati lemas ketika memasang jaring di Lombong Batu 10, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini malam tadi.
Mangsa yang berumur 36 tahun bersama seorang rakannya dipercayai sedang memasang jaring di lombong tersebut kira-kira jam 9 malam sebelum bot yang dinaiki tiba-tiba pecah dan mulai karam.
Rakan mangsa berjaya berenang ke tebing namun mangsa dikatakan tersangkut pada jaring dan tenggelam. Beberapa orang rakan turut membuat pencarian namun gagal menjumpai mangsa.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata pasukannya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 malam.
6a4035f9-78fc-45fa-b48a-476db05b941c
“Setibanya di lokasi, anggota telah bertindak membuat pencarian secara ‘surface searching’ dengan menggunakan bot.
“Bomba juga turut menggunakan ‘grapping iron’ bagi mengesan kedudukan mangsa dan mayat seorang lelaki Melayu ditemukan tersangkut pada jaring ikan,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.
Mohd Jamaluddin berkata mayat mangsa diangkat naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis selepas siasatan selesai dijalankan.
Pencarian tersebut melibatkan 8 anggota BBP Batu Gajah, 4 anggota dari BBP Kampar, 7 anggota Persatuan Bomba Sukarela Tanjung Tualang, 16 anggota polis dan 3 anggota dari tentera laut.
Selain itu, 5 unit jentera turut digunakan iaitu sebuah fire rescue tender, sebuah light fire rescue tender, seunit bot aluminium, masing-masing sebuah utiliti Hilux dan Pajero.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 5 pagi tadi.