PASIR SALAK – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang anggota tentera yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran daun ketum di Jalan Kampung Gajah-Teluk Intan, Kampung Pulau Gajah dekat sini awal pagi tadi.

Dalam tangkapan pada pukul 2.25 pagi itu, polis menahan kereta jenis Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua suspek sewaktu melakukan rondaan selepas melihat kenderaan pelbagai guna (MPV) itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan mendapati, pemandu kereta, Mohd. Norissamuddin Mat Isa, 41, dan anggota tentera, Azli Shafie, 28, sedang dalam perjalanan dari Sungai Buaya dekat sini menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.

Jelasnya, pemeriksaan di dalam MPV itu menjumpai lapan bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di bahagian bonet dan dua bungkus plastik sama di tempat duduk belakang kenderaan.

“Berdasarkan siasatan, daun ketum yang dirampas dianggarkan seberat 50 kilogram (kg) dan dipercayai akan diproses sebelum dijual di Seremban.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,”katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Mohamad Zainal, siasatan terhadap anggota tentera dari Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan rakannya yang tidak bekerja itu juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – K! ONLINE