LUNDU: Dua anggota Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) dengan seorang daripadanya lengkap bersenjata ditahan ketika menaiki motosikal curi dalam kawasan Ladang Raso, di sini, awal pagi tadi.

Penahanan pada jam 3 pagi itu dibuat oleh tiga pegawai dan 19 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menjalankan rondaan dalam Ops Lejang bagi mengesan penyeludupan kenderaan curi di sempadan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata ketika memasuki kawasan ladang itu, anggota polis ternampak sebuah motosikal datang dari arah Lundu menghala sempadan.

“Polis berjaya menyekat motosikal itu dan menahan dua lelaki Indonesia yang memakai seluar celoreng TNI-AD.

“Seorang suspek membawa raifal jenis SS 1 bersama satu kelopak dan 15 butir peluru. Semakan dokumen pengenalan diri menunjukkan bahawa kedua-dua suspek itu adalah anggota TNI,” katanya.

Dev berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang dinaiki dua anggota TNI itu dilaporkan hilang di Sekama, Kuching tahun lalu.

Beliau berkata, ketika anggota polis sedang menyoal dua anggota TNI itu, tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dipandu laju datang dari arah Lundu menuju ke arah sempadan Indonesia.

“Kenderaan itu terus berhenti apabila melihat pasukan polis dan dua lelaki keluar dari kenderaan itu terus melarikan diri ke dalam ladang sawit.

“Pasukan polis berjaya mengejar dan menangkap seorang suspek yang sedang bersembunyi dalam semak manakala seorang lagi berjaya melarikan diri,” katanya.

Katanya lagi, semakan mendapati Mitsubishi Pajero itu dilaporkan hilang di Sungai Maong, Kuching, malam kelmarin.

“Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Samarahan tahun ini dijumpai dalam kenderaan Mitsubishi Pajero itu.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut mengikut Kanun Keseksaan, Akta Senjatapi 1960 dan Akta Imigresen,” katanya – berita harian