IPOH – Seorang anggota polis parah dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Silibin berhampiran simpang masuk ke Grand Silibin di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa, Koperal Mohd. Aizal Lazim, 36, dari Cawangan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh cedera di muka, kepala, tangan dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd. Rahman berkata, kejadian berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas sebagai ‘stopper’ sedang menahan kenderaan dalam SJR itu.

Katanya, sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 35 tahun dari arah Bulatan Silibin dengan laju telah mengabaikan SJR bagi tujuan meloloskan diri.

“Motosikal berkenaan telah merempuh anggota terbabit dari arah belakang dan menyebabkan mangsa melambung sebelum terjatuh dan terseret sejauh lebih kurang lima meter di atas jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zakaria, pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan manakala suspek cedera ringan.

Katanya, anggota terbabit dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

“Semakan mendapati lesen memandu suspek yang turut dirawat di HRPB itu telah tamat pada 16 Februari tahun lalu manakala insurans dan cukai jalan motosikal itu pula tamat pda 16 Mac 2017.

“Suspek juga didapati mempunyai empat rekod lampau bersabit kes dadah dan satu kes membabitkan curi,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE