Oleh: Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah tangan kiri selepas motosikal kuasa besar ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas persiaran, di sini pada pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah malam semalam (Rabu), anggota polis yang tidak didedahkan identitinya itu sedang melakukan rondaan sekitar kawasan Gerik sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata bagaimanapun anggota tersebut kini berada dalam keadaan stabil manakala 14 orang di dalam bas persiaran tersebut tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati anggota berkenaan dari Pengkalan Hulu dan menghala Gerik manakala bas tersebut berada di laluan bertentangan.

“Setibanya di lampu isyarat berhampiran sebuah restoran, kedua-dua kenderaan bertembung. Kedua-dua pihak mendakwa lampu isyarat dalam keadaan hijau pada waktu itu.

“Polis masih menyiasat kes ini. Anggota yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ismail memuji kesungguhan anak buahnya yang tetap bersemangat mahu menjalankan tugas meskipun patah tangan dan cedera dalam insiden berkenaan.

“Saya ada berjumpa dengan anggota tersebut dan lihat dia tetap bersemangat dan saya amat kagum dengan beliau, malah dia menganggap itu adalah lumrah dalam menjalankan tugas sebagai anggota polis.

“Inilah cabaran anggota polis sebenarnya, tugas kami sentiasa terdedah kepada bahaya namun demi keselamatan masyarakat, kami tetap melaksanakan tugas sebaiknya,” ujar beliau.