JAKARTA: Angka mangsa terkorban susulan gempa bumi kuat di Lombok sudah mencecah lebih 400 orang, menurut pihak berkuasa, hari ini ketika usaha mencari mayat di bawah bangunan runtuh masih berterusan.

Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada 5 Ogos lalu memusnahkan puluhan ribu rumah, masjid dan premis perniagaan di Lombok, seminggu selepas satu lagi gempa di kepulauan itu yang mengorbankan 17 orang.

“Pasukan mencari dan menyelamat sedang mengalihkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan tanah runtuh,” kata jurucakap bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Beliau menambah, angka korban kini sudah mencecah 436 orang dengan lebih 1,300 cedera dan hampir 353,000 kehilangan tempat tinggal.

Menurut angka rasmi terbaharu, wilayah Lombok yang paling teruk di utara dengan 374 terkorban dan lebih 137,000 terpaksa meninggalkan rumah.

Ramai mangsa tidur di dalam khemah berhampiran rumah yang musnah atau di pusat perlindungan, manakala kemudahan perubatan bergerak dibina untuk merawat mangsa cedera. – AFP