DUA puluh satu murid asrama tahun lima dan enam di Sekolah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena, Alor Setar menerima rawatan selepas mengalami cirit-birit akibat makan daging masak hitam ketika bersahur, hari ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Kota Setar menerima maklumat 8.45 pagi daripada Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkaitan kejadian muntah dan cirit birit membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu , tujuh daripadanya murid lelaki dan 14 perempuan berusia antara 11 dan 12 tahun.

“Jumlah keseluruhan murid di asrama sekolah itu seramai 57 orang dan murid asrama yang terbabit mengalami cirit-birit itu disyaki makan daging masak hitam yang disediakan oleh dapur asrama untuk hidangan sahur pada 4.30 pagi tadi.

“Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Pokok Sena dan Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah hadir memberi rawatan di sekolah berkenaan.

“Kesemua 21 murid ini hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar dan semuanya adalah stabil, malah tiada yang dirujuk ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Norhizan berkata, pihaknya turut memberikan pendidikan kesihatan kepada murid, pihak sekolah dan pengusaha dapur asrama sekolah terbabit.

Beliau berkata, penutupan premis itu dilakukan mengikut Seksyen 18(1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pihak sekolah juga diminta untuk memantau keadaan murid dan memaklumkan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya masih ada terdapat kes seperti ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan amalan cuci tangan sebelum dan selepas makan serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Mereka juga dinasihatkan supaya mengamalkan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ pada makanan yang dibeli atau sebelum makan untuk memastikan makanan yang dimakan selamat,” katanya – hmetro