IPOH, 8 JAN: Kempen menjejak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) anjuran Anita Bikers Club Malaysia kini memasuki kawasan Utara apabila acara flag-off dilakukan di sini, hari ini.

Kempen itu yang dinamakan Flag Off Anita North & East Coast Ride Go Green dan Jejak Pahlawan dilancarkan oleh Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Azizul Kama Abd Aziz di Kampung Tengku Hussein, Manjoi.

Presiden Anita Bikers Club, Anita Yusop berkata, kempen itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak juga bertujuan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Katanya, melalui siri jelejah kempen itu, pihaknya berjaya menyantuni veteran ATM dan membantu mereka di samping mengekalkan jejak warisan pahlawan untuk tatapan generasi hari ini.

“Bagi siri kempen kali ini, kami menjelajah ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Johor dan Melaka bagi menjejaki dan mengesan veteran-veteran ATM yang pernah berkhidmat sebelum ini.

“Di sepanjang jelajah ini, kami telah menemui ramai veteran yang sakit dan kurang upaya yang memerlukan bantuan dan sumbangan untuk mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan makanan kepada golongan asnaf sempena pelancaran kempen tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MAYC Perak, Muhammad Iqbal Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, antara bantuan makanan yang diberikan kepada penerima adalah barangan kering seperti gula, beras, tepung dan bihun.

“Sebelum ini, kami telah mengadakan program bantuan makanan dengan kerjasama Petron kepada 1,000 orang penerima di Perak.

“Kami sudah beberapa kali berkerjasama dengan Anita Bikers Club dan pada kali ini, kami menyediakan 30 pek bantuan makanan kepada asnaf yang terpilih di sekitar Manjoi,” ujarnya.