KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan dirinya telah diarahkan menjalani kuarantin di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia susulan beliau merupakan kontak rapat kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii yang didapati positif COVID-19.

“Saya telah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19 dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu,hari ini.

“Ini berikutan kontak dekat saya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii kini disahkan positif. Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Annuar yang juga Koordinator Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berkata, beliau telah menerima perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan COVID-19, dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, hari ini.

Pada dua hari lepas, Menteri Wilayah Persekutuan itu telah menjalani ujian COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keputusan menunjukkan negatif.

Beliau juga telah menjalani ujian kedua COVID-19 di Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan keputusannya dijangka diperoleh dalam sehari ke dua hari lagi.

Justeru katanya, beliau akan membatalkan semua jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah dan akan bertugas dari kediamannya.