KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) akan menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menerajui pentadbiran negara jika parti itu kembali berkuasa.

Perancangan itu dinyatakan Presiden PH, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sambil menegaskan parti itu bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan termasuk jika pilihan raya umum diadakan secara mengejut.

“Saya akan mengadakan perbincangan, dan saya fikir mungkin ia (jawatan Perdana Menteri) akan menjadi milik Anwar,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam temu bual bersama Haslinda Amin di saluran televisyen Bloomberg hari ini.

Wan Azizah yang juga isteri Anwar, berkata beliau tidak ‘menaruh harapan’ yang tinggi kepada kerajaan baharu, yang mana wujud ketidaktentuan sehingga menyebabkan persidangan Parlimen yang sepatutnya berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan.

“Kita kena tunggu dan lihat apa yang sedang berlaku. Segala-galanya kelihatan begitu tidak menentu, jadi kita rasa tidak selamat, malah keadaannya kini begitu rapuh,” katanya

Anwar sebelum ini dilaporkan menunggu hampir dua tahun untuk Dr Mahathir menunaikan janjinya menamakan beliau sebagai pengganti.

Dr Mahathir bagaimanapun enggan memberikan tempoh masa peralihan kuasa itu walaupun Anwar menjangkakan proses itu akan berjalan Mei ini.

Pertikaian mengenai tempoh peralihan kuasa itu akhirnya menyebabkan PH berpecah, hingga menyebabkan pentadbirannya sebagai Kerajaan Pusat berakhir pada 24 Februari lalu.