KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan lebih daripada 120 Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional.

Dalam sidang media khas hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau telah menyampaikan bukti berupa surat akuan sumpah dan pengesahan ketua parti berkaitan kepada Yang di-Pertuan Agong awal hari ini.

Anwar berkata, beliau dimaklumkan bahawa Baginda (Yang di-Pertuan Agong) memerlukan masa untuk mengesahkan keabsahan dokumen berkenaan, termasuk mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik.

“Saya pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan, dan juga budi bicara Tuanku untuk menelaah dokumen dan dalam satu dua hari ini, panggil ketua parti untuk mengesahkan dan juga mendapat input sebaiknya,” katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau telah membuat perjanjian dengan mana-mana ahli parlimen pihak lawan, termasuk mereka yang mempunyai kes mahkamah, Anwar berkata, beliau tidak ada dendam dengan sesiapa.

“Nombor satu, ini merupakan kerajaan inklusif. Saya tiada dendam dengan sesiapa. Keduanya, saya telah berulang kali menegaskan kita komited terhadap reformasi institusi dan kehakiman.

“Apa yang boleh saya tegaskan, saya tidak mempunyai dendam. Tetapi mereka harus menerima dan menjalani proses keadilan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Ditanya sama ada sokongan itu termasuk parti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata: “Senarai itu akan dikeluarkan nanti”.