KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin nafi bahawa kerajaan telah tumbang seperti mana yang didakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media khas, awal hari ni.

Ahli Parlimen Rembau itu, melalui ciapan di Twitternya berkata, Mesyuarat Kabinet berjalan seperti biasa hari ni, walaupun Anwar mendakwa mendapat sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Dan sokongan itu, dakwa Anwar lagi, turut hadir daripada beberapa Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perikatan Nasional.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” kata Khairy, sambil mengepilkan satu gambar menunjukkan keadaan mesyuarat itu di Putrajaya, sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar mendakwa, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh kerana kekurangan majoriti yang diperlukan di dalam Dewan Rakyat.

Dalam sidang media itu, beliau berkata, sokongan yang didapati untuk menjadikannya Perdana Menteri adalah cukup kukuh, bukan sekadar tambahan 5 – 10 Ahli Parlimen sahaja.