KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan tumbang susulan sidang media Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan telah mendapat cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kenyataan yang dibuat Anwar tidak boleh menentukan perubahan kerajaan kerana ia perlu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta usul di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, Pas masih sangsi dengan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai cukup majoriti membentuk kerajaan.

“Sebelum ini, sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan pelantikan semula perdana menteri perlu dilakukan, beliau memberitahu mereka mempunyai bilangan (majoriti) yang cukup.

“Ramai-ramai (ahli parlimen) yang naik bas ke Istana Negara tetapi apa yang berlaku? Tiada angka, jadi kami tunggu,” kata Mohd Amar ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di sini pada Rabu.

“Sekiranya betul-betul dari segi kaedahnya dia mempunyai cukup bilangan, dia (Anwar) perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau (usul) undi tidak percaya dibawa ke Parlimen tetapi perdana menteri mempunyai dua pilihan, sama ada untuk meletak jawatan atau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Itu keadaannya, tetapi kerajaan tidak akan tumbang dengan pengisytiharan yang dibuat. Itu prosesnya,” katanya.

Tambahnya, Pas mengambil ketetapan untuk menunggu dan mengikuti perkembangan semasa.