KUALA LUMPUR : Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan pendekatan diplomat Arab Saudi di Malaysia dalam isu Syiah, selepas atase agama kedutaan negara itu mendakwa ajaran itu ancaman kepada umat Islam.

Ditemui di sidang International Unity in Diversity Conference 2020 hari ini, yang menampilkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah dan penceramah antarabangsa, Omar Suleiman dan Yasir Qadhi dari Amerika Syarikat dan Nuruddin Lemu dari Nigeria, Anwar berkata “kami tidak mewakili pandangan seperti itu.”

“Kami sebagai pembuat dasar, kami tunjukkan dengan memberikan banyak toleransi,” katanya kepada pemberita, mengulas kenyataan Sheikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’in seperti yang dilaporkan media.

Anwar sedia maklum isu berkenaan Syiah di Malaysia, tetapi perbezaan itu bukan perkara baru di sini.

Sheikh Abdurrahman pada Konvensyen Ilmu Sunnah Peringkat Kebangsaan baru-baru ini berkata ajaran Syiah cabaran terbesar kepada umat Islam, dan sia-sia untuk mendekati mereka dalam usaha menyatukan umat Islam kerana sudah sesat.

“Perbezaan antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan membabitkan soal Fiqiyyah semata-mata, tetapi juga antara haq dengan yang batil,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Anwar turut ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam, mengatakan ia “perbincangan hati ke hati 2 orang”.

“Diberikan sedikit sebanyak penjelasan tetapi saya tidak bincang soal Kabinet. Saya juga tidak melobi (jawatan menteri pendidikan). Kita bincang apa-apa keperluan untuk dirujuk ke Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.