SEPANG: “Saya tidak pernah dihubungi Anwar Ibrahim.” Itu pengakuan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berhubung dakwaan ada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, beliau agak terkejut dengan dakwaan itu namun percaya ia hanyalah satu gimik politik bagi mengalih perhatian menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

“Saya tertanya-tanya juga ahli Parlimen UMNO daripada mana (yang menyokong Anwar). Tapi ini bukan kali pertama Anwar mengumumkan perkara yang diluar jangkaan.

“Saya fikir, dakwaannya itu sekadar gimik sahaja. Saya pun tidak tahu, bahaya juga orang berangan angan ini, gila bayang ke kita pun tak tahulah, ” sinis beliau ketika ditemui selepas melawat rumah penduduk yang terjejas akibat ribut, di sini hari ini.

Anwar semalam membuat kejutan apabila mendakwa menerima sejumlah sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Islam bagi menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). -UTUSAN