KUALA LUMPUR : Anwar Ibrahim mengucapkan terima selepas Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa jawatan perdana menteri akan diserahkan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen hari ini menyatakan ucapan terima kasih itu ditujukan kepada rakyat, Pakatan Harapan dan Mahathir sendiri.

Ketika ditanya mengenai cubaan pihak tertentu yang mahu menghalangnya menjadi perdana menteri, ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya lagi.

“Saya dah jelaskan, saya ikhlas. Sebenarnya malas nak jawab.

“Keputusan dibuat sebelum pilihan raya, mandat dalam pilihan raya, setakat ini tidak ada pimpinan PH yang mengusulkan nama lain,” katanya.

Semalam, Mahathir memberi jaminan beliau akan berundur sebelum PRU15 tetapi tidak menyatakan tarikh khusus.

Ketika ditanya adakah beliau akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar dan bukan orang lain, beliau menjawab: “Ya, saya akan.”

Terdapat khabar angin baru-baru ini mengenai langkah membentuk kerajaan baru secara pintu belakang, melalui rundingan dalam kalangan pemimpin politik.

Susulan perdebatan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menggesa Mahathir kekal sebagai perdana menteri sepanjang mandat lima tahun PH dan ia senada dengan pendirian pemimpin pembangkang.