KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mengadakan sidang media jam 2 petang ini, bagi memaklumkan hasil pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, dalam jemputan medianya, berkata Anwar akan membuat satu pengumuman penting ketika sidang media itu.

Pengumuman itu dijangka bakal memberi gambaran, sekurang-kurangnya daripada pihak Anwar, sama ada negara bakal menyaksikan perubahan kerajaan buat kali ketiga dalam tempoh lebih dua tahun.

Terdahulu, Presiden PKR itu menghadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira satu jam untuk mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya, sebelum dilihat keluar dari Istana Negara jam 11.30 pagi tadi.

Beliau yang menaiki kereta berwarna hitam jenis Jaguar, tidak memberhentikan kenderaan untuk menjawab soalan wartawan mengenai pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya, hanya menurunkan tingkap dan melambai tangan sambil tersenyum kepada wartawan yang menantinya seawal jam 8 pagi tadi.

Malaysia menyaksikan perubahan kerajaan buat pertama kali dalam tempoh lebih 60 tahun apabila Barisan Nasional (BN) ditumbangkan Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, pentadbiran PH pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya bertahan selama 22 bulan apabila kemelut dalam menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan pada 29 Februari lalu.

Ura-ura perubahan tampuk pemerintahan buat kali ketiga di Malaysia pula bermula apabila Anwar mengumumkan memiliki sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan, dalam sidang medianya pada 23 September lalu.