KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau hanya bermusuh dengan orang zalim khususnya pemimpin yang menyalahgunakan kuasa untuk merompak harta rakyat.

Walaupun beliau dilihat agak rapat dengan pemimpin DAP namun Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak bermusuh dengan mana-mana bukan Melayu dan Islam selagi mana ia patuh kepada undang-undang.

“Saya pergi ke banyak tempat orang Melayu kita, awak okay tapi rapat sangatlah dengan DAP. Iya ramai yang cakap macam itu, tapi saya kata tak ada, saya kata apa salahnya, awak nak jadi musuh seluruh dunia.

“Saya musuh dengan perompak, pembunuh, orang yang menindas rakyat, orang yang guna kuasa untuk angkuh dan rompak harta rakyat, saya musuh dengan mereka,” katanya berucap pada Konvensyen Keadilan Rakyat hari ini.

Anwar juga mengakui beliau tidak akan bermusuh dengan sesiapa sahaja yang patuh kepada agama masing-masing.

“Saya tidak bermusuh dengan sesiapa, saudara jadi orang Hindu yang baik, orang Kristian yang baik, orang Buddha yang cukup taat, pakailah biru ker, kuning ker, saya tak musuh.

“Saya musuh dengan orang zalim, itu yang saya belajar daripada agama saya (Islam) dan itu menjadi prinsip Keadilan,” katanya lagi.