MELAKA: Bekas penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal menjelang aksi skuad baharunya Melaka United berdepan Perak di Ipoh, malam esok.

Baginya, pendekatan dan perencanaan ketua jurulatih, E Elavarasan dalam pembentukan pasukan terbaik bagi misi meraih tiga mata berjaya dipraktik pemain sepanjang sesi latihan.

Walaupun tempoh kurang seminggu bersama skuad Hang Tuah, ia bukan penghalang buatnya dan rakan sepasukan mempamerkan persembahan mengagumkan.

“Tugas saya adalah membuktikan keupayaan sebenar bersama pasukan ini dengan usaha awal merebut tempat membarisi kesebelasan utama berdepan Perak, malah saya akan menggunakan pengalaman bagi membantu kecemerlangan Melaka pada perlawanan itu.

“Saya juga mahu memastikan kejayaan Melaka sepanjang baki liga musim ini, termasuk merealisasikan sasaran menduduki lima tangga teratas Liga Super,” katanya.

Apa yang melegakannya, sepanjang bersama skuad itu setakat ini, dia mendapat sokongan padu daripada pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan.

“Sokongan peminat juga dilihat amat memberangsangkan dalam memastikan pasukan bangkit daripada kemerosotan prestasi sebelum ini.

“Mengenai pertemuan dengan Perak, mereka pasukan yang mantap dalam semua aspek dan berikutan itu tugas utama pemain adalah untuk menyekat gerakan bahagian tengah mereka, sekali gus memberi ruang buat kami menyerang,” katanya.

Sebelum ini, Khairul Fahmi yang dikenali sebagai Apek bersama pemain tengah berpengalaman, Badhri Radzi tiada dalam perancangan ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim sekali gus membuka ruang buat Melaka menagih khidmatnya – berita harian