TANJUNG MALIM: Kejadian menyorak wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ketika perasmian jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) semalam, tidak menggambarkan pendirian parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (BN).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi , Khairy Jamaluddin berkata, tindakan beberapa orang itu juga tidak boleh menggambarkan hubungan antara Barisan Nasional, Pas dan Bersatu.

Menurutnya, mungkin terdapat elemen samada mereka sengaja mahu mencetuskan kontroversi ataupun mereka tidak nampak kepada matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan, penyatuan terutamanya penyatuan umat Islam dan bangsa Melayu melalui Muafakat Nasional dan juga Perikatan Nasional.

“Jadi mungkin saya boleh kata mereka ini tidak menggambarkan pendirian parti.

“Saya tak tau mereka ni siapa, datang daripada parti mana tetapi mereka tidak menggambarkan pendirian parti Umno, Pas atau mana-mana parti yang sekarang ni mendokong kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengahari bersama jentera Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi Felda Besout 2, dekat sini, hari ini.

Pada Sabtu, wakil Armada Perak, termasuk Ketuanya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh di ‘boo’ ketika Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan perasmian.