KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah mencadangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dikembalikan.

Beliau bagaimanapun mencadangkan kadarnya ditetapkan sebanyak tiga peratus, lebih rendah berbanding enam peratus yang dilaksanakan di zaman Najib Razak.

Perkara itu, kata Armand, akan disampaikan secara peribadi kepada kepimpinan Umno – yang kembali ke tampuk pemeritahan negara setelah menumbangkan Pakatan Harapan melalui penjajaran semula politik negara.

“Saya secara peribadi akan sampaikan perkara ini pada kepimpinan parti demi kesejahteraan rakyat Malaysia, yang tertekan sepanjang 20 bulan dibawah rejim pakatan (PH).

“Ini sebahagian. Insya-Allah akan saya sampaikan pada kepimpinan negara, demi kembali hebatkan negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangannya itu dibuat sehari selepas Umno rasmi menjadi komponen gabungan kerajaan pemerintah Perikatan Nasional.

Ia salah satu daripada 19 cadangan tindakan yang akan dikemukakan olehnya kepada kepemimpinan parti Umno.

GST pada kadar enam peratus diperkenalkan Najib berkuat kuasa 1 April 2015, dan dikatakan menjadi antara punca kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu.

PH menghapuskan GST yang disifatkan sebagai cukai yang menekan dan zalim, dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sementara itu, antara cadangan lain yang digariskan Armand ialah mepercepat siasatan kes Muhammad Adib Mohd Kassim dan membuka semula kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)

Selain itu, dia mencadangkan kenaikan bantuan BR1M (bantuan rakyat 1Malaysia) kepada B40, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengembalian bantuan nelayan dan peladang, bantuan pemandu teksi, bantuan pelajar universiti, dan bantuan persekolahan.

Dia juga mencadangkan penutupan tol yang hampir tamat tempoh konsesi, pemberian royalti minyak, meningkatkan peluang pekerjaan, memperkukuh pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), mendapatkan kembali pelabur ke dalam negara, pembukaan hospital dan klinik kerajaan di kawasan pedalaman, dan cadangan pelan perpaduan negara.

Selain itu juga, dia bercadang kerajaan wajar mencari formula terbaik untuk menurunkan kos sara hidup, menyelesaikan isu vape, serta mewujudkan lebih banyak usahawan.