IPOH, 14 JAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menuntut pemilik akaun Facebook atas nama Maha Rani menarik balik artikel yang mengaitkan beliau dalam kejadian banjir besar di Chikus awal tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak turut menuntut permohonan maaf dari pemilik akaun berkenaan.

“Saya sendiri sedang meminta peguam menyediakan dan seterusnya menghantar surat peguam, menuntut pemilik akaun berkenaan menarik balik artikel dan membuat permohonan maaf,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat
Pegawai Khasnya, Noor Azman Ashkar berhubung siaran artikel di laman Facebook milik Maha Rani mengenai punca banjir di Chikus yang disifatkannya sebagai fitnah.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Langkap di sini, semalam.

Menurut Noor Azman, pada 6 Januari lalu, dia terbaca artikel di dalam Facebook mengenai banjir besar yang berlaku di Chikus awal tahun ini, kononnya disebabkan projek mengorek pasir di Sungai Padang Padang.

Artikel berkenaan juga mengaitkan ADUN Sungai Manik ada kena mengena dengan projek tersebut.

“Saya sebagai Pegawai Khas ADUN Sungai Manik terkilan di atas kenyataan yang dibuat tanpa usul periksa dan lebih kepada menjejaskan kredibiliti beliau sebagai ADUN yang telah berkhidmat sepanjang tempoh diberikan jawatan,” katanya dalam laporan polis itu.

Menurutnya, urusan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, katanya, jika berdasarkan kenyataan itu, bermakna pihak PBT gagal membuat semakan serta laporan teknikal yang jelas sebelum melaksanakan kerja-kerja, sekaligus mempersoalkan pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Ini bermakna laporan itu adalah laporan yang memfitnah kerajaan. Tindakan perlu diambil ke atas individu yang cuba mengugut dan menyebarkan berita buruk tentang kerajaan sedia ada.

“Saya yakin agensi kerajaan telah menjalankan tugas mereka dengan penuh komitmen,” ujarnya.

Menurut Noor Azman, Pusat Khidmat DUN Sungai Manik sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan, demi untuk rakyat.