PUTRAJAYA: Asap debu Gunung Berapi Sinabung yang meletus pada pagi tadi dijangka memasuki ruang udara negara pada malam ini.


Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, ia akan memasuki ruang udara negeri-negeri Utara dan Pantai Timur di Semenanjung Malaysia termasuk Perak.


“Keadaan itu boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam ini.


Bagaimanapun, Jailan berkata, berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana oleh MET Malaysia, orang ramai tidak perlu bimbang kerana asap debu itu dijangka tidak menjejaskan kualiti udara di negara ini.


Jangkaan itu, katanya, turut diramal oleh Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) yang berpangkalan di Darwin, Australia.


“Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung Berapi tersebut.


“Keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara juga menunjukkan kualiti udara yang biasa iaitu pada tahap baik dan sederhana,” ujarnya.


Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui Laman web rasmi www.met.gov.my dan aplikasi MyCuaca serta saluran media sosial jabatan itu.


Gunung Berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia meletus pada pukul 11.37 pagi, 10 Ogos dan mengeluarkan abu dan asap berwarna kelabu setinggi 5,000 meter.


Gunung berapi itu tidak pernah meletus sejak tahun 1600 namun kembali aktif pada 2010 dan letusan terakhir dilapor berlaku pada Februari 2018.