KUALA KANGSAR: Semua aset milik UMNO Bahagian di seluruh negara akan diserahkan kepada negeri masing-masing dan pusat untuk diurus tadbir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan harta dan bangunan parti dapat diuruskan dengan lebih baik dan mengelak timbulnya isu apabila pucuk pimpinan berubah.

“Semua harta khususnya bangunan yang dipunyai oleh UMNO bahagian ini akan dijaga oleh negeri dan pusat, hak milik itu tetap bahagian punya.

“Timbul kekeliruan selalunya bila ada perubahan kepimpinan, bangunan dan aset tak tahu ke mana. Macam-macam berlaku, jadi sekarang semua harta yang didaftar akan dikawal oleh negeri dan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2017 di Dewan Jubli Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Shafie; Naib Ketua, Maslin Sham Razman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Tengku Adnan, dalam ucapannya, mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya bersatu dan setia kepada parti agar dapat berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

“Jika berpandukan pada trend yang ditunjukkan melalui Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, undi kita semakin merosot dan ianya amat merisaukan.

“Kita semua perlu kerja lebih kuat. Saya rayu kita semua berkhidmat kepada masyarakat dan jangan berkhidmat sesama kita (di kalangan ahli UMNO) sahaja, kita semua perlu rapat dengan masyarakat,” ujar beliau.