IPOH: Seorang askar wataniah yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung di garaj kenderaan Bahagian Pentadbiran, Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), pagi tadi, dipercayai ada masalah kewangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, polis akan mendapatkan penjelasan daripada keluarga askar itu untuk memastikan sama ada dia mempunyai masalah dengan along atau ceti haram.

Katanya, rakan sekerja mangsa memberitahu dia kelihatan gelisah sejak kebelakangan ini dan mengesyaki ia berkemungkinan kerana masalah keluarga.

Bagaimanapun, katanya, mangsa kelihatan normal dan dalam keadaan baik pada pagi ini ketika memandu kereta sebelum meletakkan kenderaan itu di tepi garaj tersebut.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian memang disebabkan oleh kesan jerutan, tetapi kita masih menjalankan siasatan dengan menghubungi keluarga mangsa dan sebagainya.

“Kita cuba mendapatkan penjelasan daripada keluarganya sendiri sama ada ianya berkaitan dengan along (peminjam wang haram) atau tidak, sehingga menyebabkan dia mengambil tindakan begitu (gantung diri),” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Mangsa yang berusia 37 tahun, dijumpai oleh seorang pegawai Puswatan, tergantung di garaj kenderaan bahagian pentadbiran pusat latihan tersebut.

Susulan itu, petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun yang membuat pemeriksaan, telah mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh dua hingga tiga jam sebelum mayatnya ditemui.