IPOH : Adun Manjoi Asmuni Awi kekal sebagai pengerusi Amanah Perak bagi penggal 2019 hingga 2022 dalam pemilihan pada Konvensyen Amanah Perak yang berlangsung, semalam.

Adun Sungai Rapat, Mohammad Nizar Jamaluddin juga kekal sebagai timbalan pengerusi parti berkenaan.

Keputusan pemilihan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Nasional, Zulqarnain Lukman.

Selain itu, bagi jawatan Naib Pengerusi Amanah 1 dan Naib Pengerusi Amanah 2 masing-masing kekal disandang Muhaimin Sulam dan Fakhruldin Mohd Hashim.

Pemilihan kali ini juga turut menampilkan 4 muka baru yang tersenarai dalam Jawatankuasa Pimpinan Amanah Perak iaitu Ketua Kawasan Larut, Mohd Nazri Din; Timbalan Ketua Kawasan Larut, Razali Ismail; Ketua Kawasan Kuala Kangsar, Ahmad Termizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Ipoh Timor, Halilah Hamidun.

Seramai 186 perwakilan daripada 22 kawasan Amanah hadir ke konvensyen berkenaan di mana proses pengundian bermula kira-kira pukul 3 petang dan berakhir lewat tengah malam tadi.

Konvensyen itu dirasmikan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Seramai 45 orang calon bertanding bagi mengisi 17 jawatan yang dipertandingkan dalam Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Perak.

Proses pemilihan bagi 17 jawatan berkenaan antaranya pengerusi, timbalan pengerusi, bendahari, ketua wanita dan ketua pemuda berjalan dengan lancar dan aman.