TELUK INTAN: Bangunan Sekolah Agama Maahad Tahfiz Al Islah Di Sungai Lampam, Teluk Intan, terbakar lagi petang Khamis, kejadian kedua dalam tempoh kira-kira setahun.

Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan menerima panggilan kira-kira jam 2.30 petang mengenai kebakaran itu.

Operasi yang diketuai PBgB Zulkafle Abdullah itu turut menerima bantuan daripada BBP Hutan Melintang, BBP Tapah Dan BBP Langkap.

Menurut bomba, kebakaran melibatkan bangunan asrama kelas ‘A’ 3 tingkat terbakar yang menyebabkan bahagian atas tingkat tiga musnah terbakar 60 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih disiasat.

Menurut bomba, kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 3.30 petang.

Pada kejadian 3 Julai tahun lalu, tingkat bawah bangunan tiga tingkat sekolah itu terbakar kira-kira jam 11.20 malam.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan ketika itu.