KUALA LUMPUR: Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mengesahkan dipanggil polis untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 22 September depan.

Mohd Asri berkata, ia bagi membantu siasatan kes kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh, yang ditularkannya sebelum ini.

“IPK Selangor hubungi saya sebentar tadi. Saya diminta untuk hadir beri keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPK Selangor.

“Percakapan diambil mengenai kes mesin judi di Sungai Buloh. Saya akan hadir bersama peguam,” katanya pada BH, hari ini.

Bulan lalu, Mohd Asri mendedahkan dua rakaman video menerusi laman sosial Facebook, berhubung apa yang didakwanya sebagai aktiviti perjudian, penjualan rokok seludup dan perniagaan haram.